Tip Penjimatan Untuk Usahawan Internet

November 30, 2012 0 Comments Domain dan Web , Usahawan 397 Views

Adakah anda baru mula menjalankan perniagaan internet, dan anda mempunyai bajet yang terhad? Atau adakah anda sudah pun mempunyai perniagaan internet sendiri dan mencari-cari kaedah untuk menjimatkan kos perniagaan anda? Berikut disenaraikan beberapa tip penjimatan untuk anda.

1. Kos untuk mempelajari ilmu baru

Sebelum memulakan sesuatu perniagaan internet, amatlah penting untuk anda melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu yang berkaitan dengan model perniagaan yang anda ingin ceburi. Ini termasuklah asas laman web, asas menyediakan surat jualan, kemahiran mengendalikan pelanggan, penerimaan pembayaran, perkhidmatan selepas jualan dan sebagainya. Apabila anda mempunyai pengetahuan asas perniagaan anda, ini akan mengurangkan isu-isu berbangkit dengan pihak ketiga seperti masalah komunikasi, kos tambahan mengupah servis, dan sebagainya. Sungguhpun anda perlu berbelanja sedikit wang untuk mempelajari ilmu-ilmu ini pada masa sekarang, anda sebenarnya melabur untuk kemahiran diri anda sendiri di masa hadapan. Secara tidak langsung, anda menjimatkan kos dalam jangka masa panjang.

2. Nama domain dan hosting untuk laman web anda

Sebagai usahawan internet, anda tidak dapat lari daripada mempunyai laman web atau blog anda sendiri. Sebuah laman web akan mengukuhkan kedudukan anda di persada industri internet. Namun kos untuk mempunyai laman web melibatkan kos untuk pembelian nama domain dan hosting. Untuk menjimatkan kos, anda bolehlah membuat kajian ringkas untuk membandingkan tawaran beberapa laman web yang menjual nama domain dan menyediakan hosting. Lazimnya, anda akan diberikan diskaun istimewa sebagai pelanggan baru untuk tahun-tahun pertama anda membeli nama domain dan hosting anda.

3. Gunakan pilihan percuma yang disediakan

Terdapat banyak perisian dan program percuma untuk anda gunakan bagi melancarkan perniagaan internet anda. Buat permulaan, anda bolehlah menggunakan perisian dan program ini seperti Google Analytics untuk mengkaji dari mana datangnya trafik di laman web anda, sebelum anda menggunakan perisian berbayar yang sebenarnya boleh melakukan perkara yang sama. Contoh lain adalah untuk memuat turun templat borang dan dokumen seperti jadual kerja, invois dan resit daripada internet dan mencetaknya sendiri apabila perlu. Anda tidak perlu menempah borang-borang ini di kedai percetakan.

4. Komputer riba berbanding komputer meja

Sekiranya anda belum mempunyai komputer dan mempertimbangkan sama ada untuk mendapatkan komputer riba ataupun komputer meja, anda digalakkan untuk memilih komputer riba kerana ia menggunakan kurang tenaga berbanding komputer meja, di samping ia lebih mobil berbanding komputer meja. Ini dapat menjimatkan kos elektrik anda, dan memberi kemudahan untuk anda mengalihkan komputer anda apabila perlu.

5. Kurangkan cetak, kurangkan kos

Anda juga boleh mengurangkan cetakan borang dan dokumen untuk mengurangkan kos. Sebaliknya anda jadikan kebiasaan perniagaan internet anda untuk mengimbas dan memberikan borang dan dokumen tersebut melalui e-mel kepada pelanggan anda. Ini bukan sahaja menjimatkan kos cetakan, tetapi juga kos pengeposan di samping menjadikan perniagaan anda lebih efisyen.

6. Lebihkan promosi cara online

Pada hari ini, terdapat pelbagai kaedah untuk mempromosi perniagaan internet anda secara online. Anda boleh mengumpul senarai e-mel dan profail pelanggan anda untuk dihubungi melalui e-mel, mengemaskini blog atau laman web anda untuk memasukkan maklumat terkini produk dan perniagaan anda, mengaktifkan penglibatan anda di laman-laman web sosial, meninggalkan komen berguna di laman-laman web bertrafik tinggi, serta memberikan pos tamu di blog atau laman web rakan-rakan anda. Lazimnya kaedah promosi secara online tidak menelan kos yang tinggi, bahkan, ada banyak kaedah promosi online yang percuma!

7. Strategi offline yang fokus

Sungguhpun anda melakukan promosi secara online, anda tidak harus lupakan kaedah promosi secara offline. Biasakan diri anda untuk membawa kad perniagaan anda ke mana-mana, kerana anda mungkin terserempak dengan prospek pelanggan anda di dalam lif, atau di kedai-kedai makan. Sekiranya anda tidak membawa kad perniagaan anda, kemungkinan anda akan terlepas prospek pelanggan tadi. Anda juga perlu pastikan alamat laman web anda ada dinyatakan di atas kad perniagaan itu tadi. Ini akan menjimatkan wang dan masa anda untuk memperkenalkan laman web anda kepada mereka. Sekiranya anda mengedarkan pamplet dan flyers, anda perlu kenalpasti kawasan yang berpotensi tinggi untuk pamplet dan flyers itu diedarkan kerana di sana ramai prospek pelanggan anda. Ia pasti menjimatkan kos anda daripada anda membuat promosi kepada orang ramai yang bukan prospek anda.

Itulah dia beberapa tips penjimatan untuk usahawan internet seperti anda. Selamat mencuba!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply