Tip Pemilihan Nama Domain

November 14, 2012 0 Comments Domain dan Web , Usahawan 414 Views

Antara strategi asas sesebuah perniagaan internet adalah untuk mempunyai nama domain sendiri untuk laman web anda. Tanpa mengira model perniagaan yang anda ceburi, dengan mempunyai nama domain anda sendiri, anda dapat mengukuhkan penjenamaan diri anda serta perniagaan anda di persada perniagaan internet.

Berikut disenaraikan beberapa tip untuk anda memilih nama domain yang paling sesuai untuk perniagaan internet anda.

1. Fikirkan kata kunci utama

Perkara paling utama yang anda perlu lakukan adalah untuk memikirkan beberapa kata kunci utama yang berkait rapat dengan diri anda atau perniagaan anda untuk digunakan sebagai nama domain. Sudah tentu langkah ini bertujuan untuk memudahkan optimasi enjin carian (SEO) bagi laman web anda terutamanya prospek pelawat anda akan menggunakan enjin carian dengan menggunakan kata kunci ini. Sekiranya anda memilih kata kunci yang lebih tepat dengan perniagaan anda, lebih tinggi peluang untuk laman web anda disenaraikan di laman pertama enjin carian tersebut.

2. Sesuaikan dengan jenis dan fokus perniagaan anda

Seterusnya, anda perlu menyesuaikan kata kunci tadi dengan jenis dan fokus perniagaan anda. Sebagai contoh, nama domain seperti www.jersibolaimport.com sudah tentu lebih jelas jenis dan fokus perniagaannya daripada www.baju.com, dan www.kekkukus.com adalah lebih jelas daripada www.makanan.com. Dan sekiranya anda mempunyai nama perniagaan berdaftar seperti Kek Kukus Polka Dot, anda juga boleh memilih nama domain www.kekkukuspolkadot.com untuk penjenamaan perniagaan anda.

3. Jadikannya mudah diingati

Tip berikutnya adalah untuk anda memilih perkataan yang mudah diingati sebagai nama domain anda. Sekiranya anda melakukan perniagaan baju Muslimah, anda bolehlah memilih nama domain www.bajumuslimah.com ataupun www.kedaibajumuslimah.com. Sesetengah orang akan menasihatkan anda untuk menggunakan nama domain yang pendek, namun nasihat ini tidaklah berapa tepat. Ini adalah kerana, sekiranya anda menggunakan perkataan yang agak panjang sekalipun namun pelanggan anda mudah mengingatinya, itu adalah lebih penting.

4. Jadikannya mudah ditaip

Anda juga haruslah memilih nama domain yang mudah untuk ditaip. Sebaik-baiknya, dengan hanya mendengar nama domain anda, prospek pelawat hendaklah sudah boleh menaipnya di internet, dan bukannya tertanya-tanya bagaimanakah untuk mengeja nama domain anda. Sebagai contoh, nama-nama domain seperti www.rhythm.com dan www.sarsaparilla.com hendaklah dielakkan kerana perkataan-perkataan ini berpotensi mengelirukan pelawat-pelawat anda disebabkan sebutannya yang langsung tidak sama seperti ejaannya. Anda sudah tentu tidak ingin kehilangan pelanggan hanya kerana mereka sukar untuk menaip nama domain anda di internet, bukan?

5. Pilihan karakter nama domain

Anda mempunyai pilihan karakter abjad (a-z), nombor (0-9) dan simbol “-” untuk digunakan dalam nama domain anda. Sekiranya anda mempunyai nama perniagaan berdaftar yang mempunyai nombor ataupun simbol “-” seperti Bistro85 ataupun T-Shirt Saleha, anda bolehlah menggunakan nama domain seperti www.bistro85.com ataupun www.t-shirtsaleha.com. Namun sekiranya nama perniagaan berdaftar anda tidak mempunyai nombor ataupun simbol “-“, ataupun anda lebih sukakan perkataan umum perniagaan dan bukannya nama perniagaan anda sebagai nama domain, anda digalakkan untuk menggunakan karakter abjad sahaja dan mengelak daripada menggunakan nombor atau simbol “-“. Ini adalah kerana prospek pelawat akan lebih mudah untuk ingat perkataan daripada mengingat perkataan bersekali dengan nombor dan simbol.

6. Elakkan nama hakcipta atau capdagang

Tip ini sudah semestinya jelas, iaitu anda perlulah mengelak daripada menggunakan nama hakcipta atau capdagang, seperti McDonalds, Ani Sup Utara ataupun Maybank. Ini adalah kerana perniagaan-perniagaan ini telah membina kredibiliti mereka di pasaran dan membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk penjenamaan mereka dan mendapat pengiktirafan sebagai nama-nama hakcipta dan capdagang. Adalah menjadi satu kesalahan di bawah undang-undang sekiranya anda menggunakan nama-nama ini untuk nama domain anda kerana anda akan dianggap melanggar hakcipta dan capdagang tersebut. Sudah pasti anda akan mengelak daripada menggunakan nama-nama ini kerana anda tidak ingin berdepan dengan tindakan undang-undang di kemudian hari!

7. Sebaik-baiknya pilihlah dot com

Akhir sekali, sebaik-baiknya anda pilihlah domain peringkat pertama dot com, kerana pilihan dot com adalah paling umum dan lazim sekali digunakan di internet. Prospek pelawat anda juga akan lebih mudah mencari laman web anda. Sebagai contoh, sekiranya pelawat anda cuma ingat nama domain anda “kekkukus” tetapi tidak ingat nama seterusnya, mereka lebih cenderung untuk menaip dot com terlebih dahulu daripada dot biz, dot net ataupun mana-mana nama domain peringkat pertama yang lain.

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply