Strategi Pemasaran Offline Untuk Usahawan Internet

January 21, 2013 0 Comments Bisnes , Shaklee 407 Views

Adakah anda memikirkan bahawa seseorang usahawan internet cuma perlu memasarkan perniagaannya secara online? Fikir sekali lagi. Apabila pemasaran online digabungkan dengan pemasaran offline, potensi capaian untuk perniagaan internet tersebut berkembang akan lebih tinggi.

Artikel ini menghuraikan 5 strategi pemasaran offline yang boleh digunakan oleh seseorang usahawan internet.

1. Pengenalan diri = pengenalan perniagaan anda

Mungkin dahulu apabila anda bersama-sama rakan atau kenalan baru, dan mereka bertanyakan pekerjaan anda, anda menjawab “saya penulis” atau “saya membina laman web”. Sebaik-baiknya anda menggunakan peluang ini untuk memperkenalkan perniagaan internet anda. Sebagai contoh, anda menjawab “saya menyediakan kandungan untuk laman web perniagaan, buku, blog, dan sebagainya”. Ataupun anda menjawab “saya menyediakan platform untuk orang berniaga seperti rekaan laman web, logo, ayat-ayat perniagaan, dan sebagainya. Dengan pengenalan seperti ini, rakan anda akan lebih mudah tertarik untuk bertanyakan maklumat lanjut mengenai ‘pekerjaan’ anda. Lantas anda boleh gunakan peluang ini untuk memasarkan perniagaan internet anda kepada prospek baru anda.

2. Jaringan ahli keluarga dan rakan-rakan

Selain itu, anda juga boleh menggunakan kuasa jaringan ahli keluarga dan rakan-rakan anda untuk bertanyakan sekiranya mereka sendiri ataupun mereka mengenali sesiapa yang memerlukan produk atau perkhidmatan yang anda sediakan di dalam perniagaan internet anda. Kebiasaannya, mereka akan mudah memperkenalkan teman atau kenalan mereka yang memerlukan perkhidmatan penulisan, suntingan bahan laman web, rekaan logo dan sebagainya. Dengan cara ini, anda berupaya mengembangkan lagi jaringan kenalan anda kerana kenalan baru ini biasanya terdorong untuk melihat atau mendengar tawaran anda sekiranya mereka telah dirujuk oleh seseorang yang mereka kenali atau hormati di dalam jaringan keluarga dan rakan anda tadi.

Pernahkah anda mendengar istilah snowball effect? Iaitu anda bertanyakan ahli keluarga anda untuk rujukan prospek, dan apabila bertemu dengan prospek tadi, anda bertanyakan kepada mereka pula sekiranya mereka mengenali sesiapa yang memerlukan produk atau perkhidmatan anda, dan begitu juga selanjutnya.

3. Kad perniagaan yang unik

Anda juga perlu ingat untuk memiliki kad perniagaan anda sendiri. Anda disarankan untuk membawa kad perniagaan anda pada bila-bila masa kerana anda tidak tahu bila masanya anda akan bertemu dengan prospek baru. Sekiranya anda memperkenalkan diri namun mereka tidak berminat pada ketika itu untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan anda, sudah tentu kad perniagaan anda akan memainkan peranannya untuk disimpan oleh prospek ini. Mungkin pada satu masa akan datang, mereka akan terfikir mengenai anda dan perniagaan anda, dan kad perniagaan ini amatlah mudah untuk mereka capai untuk menghubungi anda.

Sekiranya anda mempunyai rekaan kad perniagaan yang unik, seperti material kad premium, dengan berwarna di kedua-dua belah kad, dan logo yang bersesuaian, prospek anda akan lebih ingatkan anda berbanding kad perniagaan lain di dalam simpanan mereka yang tidak mempunyai sebarang keunikan.

4. Poskad atau makalah secara langsung

Anda juga boleh mempertimbangkan untuk mengedarkan poskad atau makalah perniagaan anda secara langsung kepada prospek anda. Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan penulisan, anda boleh menyemak laman web perniagaan di kawasan anda yang memerlukan pembaharuan kepada blog atau laman web mereka, dan anda hubungi mereka secara langsung untuk menawarkan perkhidmatan penulisan anda. Sekiranya setelah anda selidiki, anda dapati terdapat pemilik kedai perniagaan di kawasan anda yang belum mempunyai laman web, anda juga boleh menghubungi mereka secara langsung untuk menawarkan perkhidmatan rekaan laman web kepada mereka.

5. Sertai kumpulan atau persatuan

Selain daripada itu, anda juga boleh bertanyakan sekiranya terdapat mana-mana kumpulan perniagaan atau jaringan networking di kawasan anda. Anda boleh menyertai kumpulan atau persatuan ini untuk saling mengenali ahli-ahli lain yang mempunyai minat yang sama dengan anda. Sambil anda bertanyakan khabar mereka dan projek terbaru mereka, anda juga boleh mengedarkan kad perniagaan anda dan berkongsi mengenai perniagaan internet anda kepada mereka. Sekiranya mereka tidak memerlukan produk atau perkhidmatan anda, mungkin juga mereka mengenali sesiapa yang lain daripada ahli keluarga mereka ataupun kenalan mereka yang mungkin boleh menjadi prospek anda.

Itulah dia, perkongsian 5 strategi pemasaran offline untuk perniagaan internet anda yang anda boleh praktikkan mulai hari ini juga. Semoga berjaya!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply