Perkhidmatan Pelanggan Bisnes Internet

March 4, 2013 1 Comment Shaklee , Usahawan 390 Views

Jika anda sudahpun berjaya melakukan jualan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan, dan berjaya menjana wang melalui bisnes internet. Jangan pula anda sangka itu adalah nokhtah akhir bagi urusniaga tersebut. Anda masih perlu menyediakan perkhidmatan pelanggan selepas jualan.

Sebahagian daripada perkhidmatan-perkhidmatan ini penting bagi mengekalkan reputasi anda di persada bisnes internet, manakala sebahagian lagi merupakan strategi untuk lebih mengembangkan sesebuah bisnes internet sedia ada. Lebih penting, perkhidmatan pelanggan ini bertujuan untuk menjamin kepuasan hati pelanggan dan mengekalkan mereka di dalam senarai subscriber anda.

Baiklah, mari kita kaji satu persatu perkhidmatan selepas jualan yang anda boleh aplikasikan sendiri.

1. Support dan teknikal
Perkhidmatan paling utama yang perlu disediakan kepada pelanggan adalah support dan teknikal berkaitan produk atau perkhidmatan yang telah terjual. Mungkin anda memberikan jaminan 100% pulangan wang sekiranya mereka tidak berpuas hati, ataupun terdapat bantuan support atau teknikal yang sengaja didatangkan sekali dengan produk atau perkhidmatan anda.

Lazimnya, bagi seseorang yang telah lama berkecimpung dalam arena bisnes internet akan mempunyai pasukan bantuan dan teknikal sendiri untuk membantunya menangani sebarang persoalan atau masalah pelanggan. Namun sekiranya anda baru bermula, mungkin anda masih mampu untuk menangani pelanggan-pelanggan anda secara terus.

Dengan cara ini, pelanggan akan lebih berpuas hati mengetahui anda dan pasukan anda sentiasa boleh dihubungi sekiranya mereka perlukan sebarang bantuan.

2. Hantarkan e-mel susulan
Selain itu, anda juga bolehlah menggunakan strategi menghubungi pelanggan anda untuk tindakan susulan. Sebagai contoh, anda menghantarkan emel untuk mengucapkan terima kasih atas pelaburan mereka, di samping bertanyakan khabar dan pengalaman mereka menggunakan produk atau perkhidmatan yang telah dibeli sebelum ini.

Dengan cara ini, pelanggan akan merasa dihargai, dan menganggap anda bukan hanya melepas tangan sebaik berjaya menghasilkan jualan terhadap mereka.

3. Hantarkan kad ucapan perayaan
Sempena hari-hari perayaan atau pada musim tertentu, kesempatan ini boleh diambil untuk menghantar kad ucapan kepada pelanggan anda. Strategi ini menunjukkan mereka sentiasa di ingatan anda, termasuk pada ketika anda berbahagia pada hari perayaan atau pada musim tertentu seperti hari setiausaha, hari persahabatan sedunia, dan sebagainya. Sekiranya dilihat, kos untuk menghantar kad ucapan tidaklah tinggi, sebaliknya, impak tindakan seseorang usahawan internet mengingati pelanggan mereka seperti ini akan menyebabkan pelanggan anda berbesar hati dan mungkin akan terus kekal di dalam senarai subscriber anda untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

4. Berikan tawaran produk baru pada harga tawaran
Oleh kerana besar kemungkinan pelanggan tersebut berada di dalam senarai pelanggan anda, adalah lebih mudah untuk menghubungi mereka untuk memberikan tawaran istimewa produk atau perkhidmatan baru yang anda tawarkan. Sebagai contoh, mereka mungkin pernah membeli daripada anda koleksi grafik laman web, mungkin kali ini mereka juga akan berminat untuk mendapatkan produk baru anda pada harga istimewa iaitu koleksi grafik buku fizikal.

Potensi untuk memberikan tawaran istimewa kepada pelanggan sedia adalah hebat. Ini adalah kerana, mereka pernah terpujuk untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan anda sebelum ini. Sekiranya anda menggunakan strategi yang sama untuk menambat hati mereka untuk produk baru anda, besar kemungkinan mereka akan berminat sekali lagi. Anda harus ingat, untuk mendapatkan jualan berulang daripada pelanggan sedia ada adalah lebih mudah daripada menghasilkan jualan kepada pelanggan baru.

5. Berikan tawaran pelanggan setia
Akhir sekali, anda juga boleh memberikan tawaran istimewa kepada pelanggan andakk tanpa perlu menunggu mana-mana hari-hari perayaan atau musim tertentu, ataupun pelancaran produk baru. Untuk strategi ini, tawaran istimewa yang diberikan adalah kerana mereka adalah pelanggan setia yang pernah membeli produk atau perkhidmatan daripada anda sebelum ini dan masih kekal di dalam senarai subscriber anda. Dengan cara ini, pelanggan akan merasa lebih dihargai dan mungkin akan kekal di dalam senarai subscriber anda lebih lama untuk mengetahui apakah tawaran lain yang mungkin mereka boleh dapati daripada anda.

Itulah dia, perkongsian 5 strategi perkhidmatan selepas jualan yang anda boleh aplikasikan sendiri, bermula daripada tarikh jualan berjaya dihasilkan terhadap pelanggan.

About author

Related articles

1 Comment

Leave a Reply