Pemilihan Cara Penerimaan Pembayaran Online

December 10, 2012 2 Comments Domain dan Web 538 Views

Anda mempunyai surat jualan yang efektif, dan ramai pelanggan telah membuat keputusan untuk mendapatkan produk atau perkhidmatan anda. Tiba masanya untuk pelanggan anda membuat pembayaran. Lazimnya mereka mempunyai dua pilihan pembayaran. Pertama, mereka boleh memilih untuk membuat pembayaran secara manual seperti deposit atau pindahan wang ke akaun bank anda. Atau kedua, mereka juga boleh membuat pembayaran secara online seperti melalui kad kredit atau Paypal.

Sebagai seorang usahawan internet, anda perlu memutuskan kaedah pembayaran yang anda akan terima bagi penjualan barang atau produk di laman web anda. Berikut dibincangkan beberapa kebaikan dan keburukan bagi setiap kaedah pembayaran manual dan juga online.

Pembayaran secara manual

Pembayaran secara manual adalah kaedah yang popular di kalangan usahawan-usahawan internet pada hari ini. Ia boleh dilakukan oleh pelanggan sama ada dengan menggunakan mesin deposit tunai, ataupun pindahan ke akaun menggunakan mesin ATM ataupun pindahan online melalui perbankan internet. Bagi tujuan pengesahan, pelanggan perlu mengisi borang yang tersedia di laman web penjual ataupun menghantar e-mel kepada penjual untuk memaklumkan bahawa pembayaran telah dibuat berserta maklumat pembayaran seperti tarikh, masa dan sebagainya.

Kebaikan – Antara kelebihan menggunakan kaedah pembayaran manual adalah wang akan terus dimasukkan ke akaun anda, dan lazimnya tidak terdapat tempoh menunggu untuk wang tersebut cair di dalam akaun anda.

Keburukan – Untuk deposit wang melalui mesin deposit tunai, pelanggan perlu mempunyai jumlah tunai yang mencukupi di tangan. Manakala untuk pindahan wang di mesin ATM ataupun melalui perbankan internet, jumlah wang sekurang-kurangnya harga jualan yang ingin dipindahkan perlu sedia ada di dalam akaun pelanggan. Ini bermaksud, pelanggan yang tidak mempunyai tunai di tangan ataupun di dalam akaun tidak akan dapat membeli produk atau perkhidmatan anda. Ini sedikit sebanyak mengurangkan prospek pelanggan anda sekiranya mereka tiada tunai di tangan. Di samping itu, untuk pindahan tunai, akaun bank pelanggan mestilah sama dengan bank anda bagi memastikan pindahan segera. Sekiranya pindahan menggunakan bank yang berlainan, maka anda perlu tunggu beberapa hari sehingga wang tersebut cair di dalam akaun anda.

Pembayaran secara online

Sungguhpun lazimnya pembayaran secara manual menjadi pilihan pelanggan dan penjual di internet, penjual tetap akan memberikan pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran secara online, sama ada menggunakan kad kredit ataupun melalui Paypal. Sekiranya anda mempunyai akaun pedagang (merchant account) anda boleh memohon untuk menerima pembayaran daripada pelanggan anda melalui kad kredit. Selain itu, sekiranya anda tidak mempunyai akaun pedagang, anda boleh menerima pembayaran daripada pelanggan melalui Paypal ke akaun Paypal anda. Buat masa kini, pembayaran melalui Paypal boleh dibuat dengan menolak jumlah sedia ada di dalam akaun Paypal pelanggan ataupun dengan mencaj jumlah harga jualan kepada kad kredit pelanggan.

Kebaikan – Terdapat pelanggan yang suka untuk menggunakan kad kredit untuk pembelian mereka, antara lain untuk tujuan semakan perbelanjaan bulanan mereka. Selain itu, pembelian menggunakan kad kredit memudahkan terma pembayaran kerana tunai tidak perlu dibayar segera, sebaliknya, mereka cuma perlu membayar selepas bil pada bulan tersebut dikeluarkan oleh pihak bank. Penggunaan kad kredit juga membolehkan pelanggan membuat pembelian walaupun mereka tiada wang tunai di tangan pada ketika pembelian dibuat. Ini sedikit sebanyak memudahkan urusan pembelian oleh pelanggan.

Keburukan – Untuk pembayaran terus daripada kad kredit pelanggan, penjual memerlukan akaun pedagang untuk menerima jumlah wang tersebut. Tambahan lagi, lazimnya terdapat caj 1% – 4% yang dikenakan kepada penjual. Selain itu, wang yang diterima daripada kad kredit pelanggan tadi cuma akan cair di dalam akaun pedagang anda selepas beberapa hari transaksi. Sekiranya anda tidak mempunyai akaun pedagang, anda boleh memilih untuk menerima pembayaran online melalui Paypal.  Sungguhpun anda tidak dicaj untuk untuk transaksi jualan tersebut, pelanggan anda yang akan dicaj yuran pemprosesan oleh pihak Paypal. Yuran pemprosesan tadi akan dicaj ke dalam kad kredit yang pelanggan anda gunakan untuk pembelian tersebut. Walaubagaimanapun, anda masih dikenakan caj ketikan ingin mengeluarkan wang tersebut daripada akaun Paypal anda ke dalam akaun bank anda di Malaysia.

Itulah dia beberapa kaedah penerimaan pembayaran untuk untuk perniagaan internet anda. Sebaik-baiknya anda pelbagaikan pilihan penerimaan pembayaran agar anda dapat mengaut seramai mungkin prospek pelanggan di laman web anda.

About author

Related articles

2 Comments

  1. Zulani Hasan November 03, at 11:39

    Saya bercadang nak business produk makanan online. Yang menjadi masalah bila, bab nak order makanan. Tanpa deposit kita tak boleh proses makanan (takut customer tak ambil dan basi). Macamana cara kita nak terima deposit yang paling mudah. Mungkin ada cara melalui telepon spt dial potong RM10.00 dari sistem telepon? Apa nasihat tuan... Email : zulanihasan@gmail.com

    Reply
  2. jeff March 28, at 13:41

    salam, sy nak tanya,ada ada melakukan penjualan atas talian dan pembeli menyatakan dia membuat bayaran menerusi akaun Paypall.saya telah menerima satu email yang menyatakan telah menerima bayaran dari pembeli tetapi email tersebut mengatakan saya perlu membayar sejumlah RM1,400 dahulu kepada Western Union untuk saya mendapatkan jumlah bayaran saya termasuklah wang bayaran tadi (RM1400).adakah transaksi ini boleh dipercayai atau satu penipuan?tolong beri nasihat.terima kasih

    Reply

Leave a Reply