Minda Jutawan Usahawan Internet

January 29, 2013 0 Comments Bisnes , Shaklee 464 Views

Sebagai seorang usahawan internet, anda perlu sentiasa memiliki minda seperti seorang jutawan. Sungguhpun anda belum lagi bergelar seorang jutawan, ataupun anda sudah hampir bergelar seorang jutawan, pemikiran seperti ini akan mendorong anda untuk mencapai kejayaaan yang lebih tinggi. Mudah-mudahan, impian anda untuk menjadi seorang jutawan internet akan lebih mudah terlaksana.

Berikut disenaraikan beberapa ciri penting yang wajib dimiliki oleh seseorang usahawan internet seperti anda.

1. Kikis tabiat bertangguh

Seseorang jutawan lazimnya akan mengambil tindakan sebaik beliau membuat keputusan untuk sesuatu perkara. Beliau tidak suka bertangguh, dan ini adalah ciri utama seseorang yang mempunyai minda jutawan seperti anda seorang usahawan internet. Sebagai contoh, sekiranya anda membuat keputusan untuk melancarkan rangkaian ebook terkemuka berkaitan dengan kepakaran anda, anda seharusnya tidak bertangguh untuk menyediakan pelan tindakan anda untuk mencapai matlamat anda tadi. Anda perlu gariskan beberapa perkara secara terperinci seperti menimba ilmu sebanyak mungkin berkenaan perkara yang anda ingin muatkan di dalam ebook tersebut, mengkaji pasaran, keyword, pembinaan surat jualan dan laman web, dan seterusnya. Sekali anda bertangguh, bermaksud anda menangguhkan pencapaian matlamat anda sebentar tadi.

2. Simpan impian yang besar

Seseorang jutawan juga menyimpan impian yang besar untuk berjaya di dalam hidup mereka. Impian tersebut mungkin adalah untuk mencapai kebebasan kewangan, empayar perniagaan yang lebih luas, mendapatkan subscriber unik dan fokus dalam mail list, dan sebagainya. Sebagai seorang usahawan internet, anda juga seharusnya menyimpan impian dan cita-cita yang besar untuk berjaya di dalam perniagaan anda, dan seterusnya berjaya di dalam matlamat hidup anda. Sekiranya impian anda besar, maka anda akan berusaha lebih gigih untuk mencapainya. Walaupun belum mencapainya, sudah tentu anda akan lebih maju ke hadapan berbanding sekiranya anda memfokuskan impian yang kecil seperti ingin mempunyai sebuah laman web jualan. Bukankah begitu?

3. Fokus mencapai impian

Setelah anda menentukan impian anda yang besar tersebut, anda haruslah fokus ke arah mencapainya. Oleh kerana impian yang anda tentukan adalah besar, maka anda boleh memecahkan impian tersebut kepada beberapa fasa kecil untuk lebih mudah dicapai. Sebagai contoh, anda berimpian untuk menjana RM1 juta melalui perniagaan internet anda dalam masa 5 tahun. Anda boleh pecahkan impian ini untuk menjadi RM200 ribu dalam masa 1 tahun. Anda boleh pecahkan lagi impian kecil ini untuk menjadi RM100 ribu dalam masa 6 bulan, dan seterusnya RM50 ribu dalam masa 3 bulan. Oleh kerana jumlah yang diimpikan adalah lebih kecil dan lebih mudah dicapai, anda bolehlah mula membuat pelan tindakan untuk menjana RM50 ribu melalui perniagaan internet anda dalam masa 3 bulan pertama. Dan anda ulangi langkah yang sama untuk tempoh 3 bulan berikutnya, danĀ  begitulah selanjutnya sehingga anda mencapai RM1 juta dalam masa 5 tahun.

4. Bijak mengambil peluang

Seseorang jutawan juga mempunyai minda bijak mengambil peluang yang muncul di hadapannya. Beliau tidak melompat untuk menangkap setiap satu peluang yang berlalu, namun beliau akan menilai kesesuaian peluang tersebut dengan jiwa beliau sebelum beliau mengambil tindakan untuk melakukannya. Itulah pendekatan yang patut anda laksanakan dalam perniagaan internet anda. Mungkin di luar sana terdapat puluhan model perniagaan yang tersedia untuk anda ceburi, namun anda perlu menilai kesesuaian perniagaan tersebut dengan jiwa anda untuk dilaksanakan. Anda tidak perlu gopoh menangkap kesemua objek bersinar yang muncul di hadapan anda.

5. Bijak menangani ujian

Akhir sekali, sebagai seorang usahawan internet yang mempunyai minda seperti seorang jutawan, anda haruslah bijak menangani sebarang ujian yang dihadapi. Sekiranya anda gagal sekali, tidak bererti anda akan gagal selama-lamanya. Sudah tentu anda akan pelajari daripada kesilapan yang lalu supaya tidak diulangi di masa hadapan. Begitu juga sekiranya anda berjaya sekali, tidak bererti anda akan berjaya selama-lamanya. Anda perlu terus konsisten menjalankan perniagaan internet anda tanpa mengira naik turun pasaran, kerana anda seorang usahawan internet yang mempunyai minda seorang jutawan.

Seperti yang anda lihat sendiri, minda jutawan seperti yang tersenarai di atas semuanya adalah mudah. Namun seseorang yang mempunyai minda jutawan akan fokus serta konsisten dari segi pemikirannya. Oleh itu mereka berjaya mencapai kejayaan yang hebat dan cepat berbanding usahawan biasa yang tidak berfikiran seperti mereka.

Selamat mencuba!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply