Kepentingan Testimonial Pelanggan

January 2, 2013 0 Comments Shaklee , Usahawan 392 Views

Testimonial pelanggan adalah satu elemen yang persuasif dalam sesebuah perniagaan offline mahupun online. Sebagai seorang usahawan internet, anda boleh menggunakan testimonial pelanggan sedia ada anda untuk menarik lebih ramai pelanggan. Mari kita lihat beberapa kepentingan menggunakan testimonial pelanggan dalam sesebuah perniagaan.

Pertama, ia adalah kaedah promosi yang baik, dan dalam sesetengah keadaan, ia boleh menjadi pemasaran untuk produk atau perniagaan anda secara viral. Ini bererti, apabila pelanggan anda memberikan testimonial positif untuk produk atau perniagaan anda, secara tidak langsung, orang lain di dalam rangkaian pelanggan anda akan membaca atau mendengar testimonial tersebut dan terdorong untuk berkunjung ke laman web anda untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Kedua, prospek pelanggan lebih mudah mempercayai pengguna yang telahpun mencuba produk atau perkhidmatan anda dan memberikan maklum balas positif. Dalam hal ini, pelanggan sedia ada anda melakukan promosi yang lebih persuasif daripada kenyataan anda sendiri. Sudah tentu kenyataan anda dianggap berat sebelah kerana anda yang menjual produk tersebut, namun pelanggan sedia ada anda yang berpengalaman menggunakan produk anda dan boleh memberikan maklum balas neutral.

Ketiga, testimonial pelanggan berupaya meningkatkan kredibiliti perniagaan anda. Ini adalah kerana prospek pelanggan anda akan lebih konfiden mencuba produk atau perkhidmatan anda apabila dilihatnya ramai yang telah mencuba dan berpuas hati menggunakan produk atau perkhidmatan tadi.

Keempat, ia menunjukkan anda mempunyai senarai pengguna yang kukuh, dan anda bukanlah seorang penjual yang memuji produk atau perkhidmatan sendiri. Sebaliknya, senarai pengguna yang memberikan testimonial tadi adalah pengguna sebenar dan pelanggan anda.

Kelima, testimonial pelanggan adalah sebagai bukti yang mengukuhkan pengiklanan produk atau perkhidmatan anda. Sudah tentu apabila ada yang memberikan maklum balas positif terhadap anda, ia membuktikan produk anda berkesan atau perkhidmatan anda berkualiti sehingga mengundang testimonial yang positif daripada pelanggan sedia ada anda.

Bagaimana menggunakan testimonial yang anda telah kumpulkan?

1. Nyatakan perkara tepat dan benar – sudah tentu anda perlu mendapatkan testimonial daripada pelanggan sebenar anda, dan anda menyatakan perkara yang tepat dan benar, dan bukannya sesuatu yang anda reka sendiri. Sekiranya anda baru bermula dan kurang pelanggan sedia ada, anda boleh mempertimbangkan untuk memberikan salinan penilaian atau ‘review copy’ kepada beberapa individu utama di dalam niche anda. Daripada situ anda boleh memohon testimonial daripada mereka untuk anda gunakan dalam kaedah promosi anda.

2. Nyatakan perkara yang spesifik – anda juga perlu menyatakan perkara yang spesifik berkatian produk atau perkhidmatan anda, dan bukannya sesuatu yang umum. Sekiranya anda mempunyai beberapa pakej produk, anda bolehlah menyatakan testimonial tertentu untuk pakej tertentu. Ini akan lebih meyakinkan pelanggan dan membantu mereka membuat pilihan pakej yang anda tawarkan.

3. Kumpulkan testimoni secara konsisten – anda perlu ingat bahawa anda perlu melakukan pengumpulan testimonial secara konsisten dan bukannya di peringkat awal anda memulakan perniagaan anda sahaja. Ini adalah kerana secara lazimnya produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan akan berkembang dan dikemas kini dari semasa ke semasa mengikut keperluan pelanggan anda. Sudah tentu anda perlu mendapatkan testimonial yang terkini untuk produk atau perkhidmatan anda yang terkini, dan bukannya kekal dengan testimonial terdahulu yang pelanggan anda kaitkan dengan produk atau perkhidmatan anda yang terdahulu.

4. Meletakkan testimonial dalam bahan promosi perniagaan anda – peringkat yang paling penting dalam penggunaan testimonial pelanggan adalah apabila anda ingin meletakkan testimonial tersebut dalam bahan promosi perniagaan anda. Anda perlu menentukan format testimonial yang anda ingin persembahkan, sebagai contoh gambar pelanggan berserta teks testimonial, testimonial dalam bentuk audio atau video, atau dalam bentuk gambar semata-mata. Seterusnya anda anda perlu tetapkan jenis bahan promosi yang bagaimana akan anda masukkan testimonial sebentar tadi. Sebagai contoh, anda memasukkan testimonial tersebut ke dalam laman web perniagaan anda, blog anda, brosur dan pamplet, poskad, di muka belakang kad perniagaan anda, di bahagian tandatangan emel anda, atau di tandatangan profail anda untuk pemasaran menggunakan medium forum atau media sosial.

Jadi, anda perlu fokus dan yakin bahawa testimonial pelanggan adalah elemen yang efektif dalam usaha promosi produk atau perkhidmatan anda. Besar kemungkinan ia akan meningkatkan potensi anda untuk mendapatkan pelanggan baru berdasarkan testimonial pelanggan sedia ada itu tadi.

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply