Kepentingan Promosi Sosial atau “Social Networking”

November 21, 2012 1 Comment Bisnes 483 Views

Promosi sosial atau “social networking” merupakan kaedah yang mudah dan lazimnya tidak memerlukan modal yang tinggi. Facebook, Twitter, LinkedIn, Pinterest, Instagram dan beberapa laman web sosial lain mempunyai potensi yang hebat untuk mempromosikan perniagaan anda – sekiranya digunakan dengan betul.

Mungkin anda tertanya kenapa perlu melakukan promosi sosial? Berikut disenaraikan beberapa kelebihan laman web sosial.

Pertama, dengan menggunakan kaedah promosi sosial, anda sebenarnya “meminjam” trafik laman-laman web sosial tersebut. Anda tidak perlu melakukan promosi habis-habisan untuk mendapatkan trafik untuk mendapatkan maklumat perniagaan anda kerana laman-laman web ini telahpun mempunyai bilangan pengguna yang kukuh.

Kedua, anda boleh menyertai kumpulan pengguna yang lebih fokus melalui fungsi Group atau Pages yang mempunyai minat atau kerjaya yang sama dengan anda. Anda tidak perlu meneliti profail setiap pengguna laman-laman web tersebut, kerana mereka dengan sendiri telah sedia berkumpul di dalam Group atau Pages yang khusus.

Ketiga, laman-laman web ini membolehkan anda membuat link berbalik (backlink) untuk tujuan SEO ke laman web anda sendiri. Enjin carian amat sukakan link berbalik yang unik, dan setiap kali anda kongsikan link ke laman web anda, dan pelawat baru klik pada link anda tadi, mereka dianggap pelawat yang unik dan ini akan meningkatkan kedudukan laman web anda di enjin carian.

Keempat, fungsi ‘bookmark’, ‘share’ dan ‘tagging’ yang disediakan di laman-laman web sosial ini membolehkan promosi perniagaan internet anda secara viral. Ini bererti, setiap kali rakan di dalam jaringan anda melakukan ‘bookmark’, share atau ‘tagging’ anda atau perniagaan anda, perkongsian ini akan terpapar di profail mereka sendiri, dan tanpa perlu anda berbuat apa-apa, rakan-rakan anda sebenarnya melakukan promosi perniagaan anda secara viral.

Bagaimana untuk melakukan promosi sosial?

1. Daftar di beberapa laman web sosial

Langkah pertama yang anda perlu lakukan adalah untuk mendaftar di beberapa laman web sosial utama, seperti Facebook, Twitter, LinkedIn, Pinterest dan Instagram. Lazimnya, proses pendaftaran tidak mengambil masa yang lama, namun anda disarankan untuk memasukkan maklumat yang tepat mengenai diri anda dan perniagaan internet anda untuk kemudahan di kemudian hari.

2. Gunakan nama perniagaan anda supaya mudah diingati

Sekiranya anda mempunyai nama perniagaan berdaftar, anda digalakkan untuk menggunakan nama perniagaan anda sebagai nama profail di laman-laman web sosial tersebut. Ini bertujuan supaya rakan-rakan dalam jaringan anda mudah untuk mengingati anda dan perniagaan anda berbanding sekiranya anda meletakkan nama profail yang berlainan daripada nama perniagaan anda.

3. Tampilkan diri anda seorang profesional

Seterusnya, anda harus ingat untuk menampilkan diri anda sebagai seorang yang professional pada setiap masa. Sekiranya perniagaan anda berkisar mengenai penulisan ebook, gunakan gambar-gambar yang bersesuaian dan perkongsian anda di laman-laman web ini haruslah mempunyai kaitan dengan tips penulisan dan ebook. Elakkan daripada menggunakan kata-kata yang negatif kerana perkongsian anda di laman sosial menggambarkan profesionalisme anda.

4. Kerap kemaskini status anda

Anda harus mempunyai jadual yang khusus untuk mengemaskini status anda. Mungkin sehari sekali ataupun beberapa kali dalam sehari. Jarak masa antara kemaskini status janganlah terlalu kerap dan jangan pula terlalu jarang. Ini cukup untuk menunjukkan kehadiran anda di kalangan rakan-rakan sosial di dalam jaringan anda.

5. Berikan komen dua hala untuk rangkaian anda

Sekiranya ada rakan yang memberikan komen terhadap status anda, sebaik-baiknya anda segera memberikan meklumbalas terhadap pertanyaan atau komen tersebut. Ini akan menimbulkan interaksi dua hala di dalam rangkaian anda dan sekaligus menunjukkan anda seorang yang proaktif dan mementingkan perhubungan sosial di dalam perniagaan internet anda. Lama kelamaan, rakan-rakan anda akan selesa dengan anda dan ini memudahkan anda untuk melakukan promosi barang jualan anda di kemudian hari.

6. Menghargai sesiapa yang kongsi status atau maklumat anda

Dari semasa ke semasa, anda akan mendapati rakan-rakan di dalam jaringan anda mudah untuk berkongsi status atau maklumat perniagaan anda dengan menggunakan fungsi ‘bookmark’, ‘share’ ataupun ‘tagging’. Mereka sebenarnya sedang melakukan promosi perniagaan internet anda secara viral, dan anda patut menghargai perkongsian mereka tadi. Anda boleh mengambil beberapa minit untuk memberikan komen seperti ‘terima kasih’ di profail mereka sebagai tanda penghargaan. Ini sedikit sebanyak membuatkan rakan-rakan anda merasa gembira dan berbesar hati, dan mungkin mereka akan terus membantu anda ‘mempromosi’ perniagaan anda lagi di masa hadapan.

About author

Related articles

1 Comment

  1. fyna April 01, at 12:19

    info yang sangat berguna ^_^

    Reply

Leave a Reply