Kepentingan Networking Untuk Usahawan Internet

October 17, 2012 0 Comments Bisnes 317 Views

Sungguhpun seorang usahawan Internet lazimnya dikaitkan dengan perniagaan internet dan bukannya perniagaan offline, namun, dari semasa ke semasa usahawan Internet juga perlu menampilkan diri secara fizikal untuk tujuan networking seperti melalui seminar, bengkel dan gathering. Networking secara fizikal ini sebenarnya mendatangkan banyak kelebihan.

Mari kita lihat beberapa kelebihan yang boleh diperolehi oleh seseorang usahawan Internet dengan tampil menyertai networking secara fizikal.

1. Perkongsian ilmu dengan usahawan lain

Sudah tentu kelebihan utama yang anda perolehi dengan menyertai aktiviti networking ialah peluang berkongsi ilmu dengan rakan-rakan usahawan yang lain. Bukan sahaja anda akan dapat tahu mengenai projek terkini rakan-rakan anda, anda juga berkemungkinan mendapat idea baru untuk diaplikasikan dalam perniagaan sedia ada anda.

2. Melancarkan momentum keusahawanan

Anda juga akan dapat mengekal dan melancarkan momentum keusahawanan dalam diri anda. Ini sudah tentu berlaku sekiranya anda bergaul dengan rakan-rakan usahawan dan topik perbincangan adalah berkisar mengenai perniagaan masing-masing. Anda akan dapati bahawa momentum anda sebagai usahawan Internet akan semakin kukuh setelah mengetahui anda berada di kalangan komuniti yang besar. Sebenarnya, anda tidak keseorangan!

3. Pertingkatkan keyakinan diri

Mungkin selama ini anda berkomunikasi dengan rakan-rakan usahawan dan pelanggan anda melalui e-mel, chat dan sebagainya. Namun pengalaman yang berbeza akan anda lalui apabila anda bertemu dengan mereka secara berdepan. Ini sebenarnya akan mambantu mempertingkatkan keyakinan diri anda sebagai usahawan, di samping melatih anda mendapatkan skil penampilan dan komunikasi yang lebih baik.

4. Kekalkan reputasi usahawan diri

Apabila anda muncul di kalangan para usahawan Internet dan ahli-ahli baru dalam perniagaan Internet, anda sebenarnya menampilkan reputasi anda sebagai seorang usahawan yang dikenali ramai. Mungkin selama ini rakan-rakan anda dan pelanggan anda cuma kenal anda melalui online, tapi kini mereka boleh bergaul mesra dengan anda di program networking. Secara tidak langsung, anda sebenarnya mengekalkan reputasi diri anda sebagai usahawan Internet yang dikenali oleh rangkaian perniagaan anda.

5. Sokongan padu sesama usahawan

Melalui perbualan dan perbincangan anda dengan rakan-rakan Internet yang lain, anda mungkin mendapat maklumat bahawa seorang rakan anda akan melancarkan produk terbaru dalam beberapa minggu lagi. Sebagai rakan yang bertanggungjawab, anda boleh menawarkan untuk memberi sokongan promosi kepada senarai subscriber anda. Sudah pasti sahabat anda itu akan membantu anda pula di masa pelancaran produk anda nanti. Sokongan padu sesama para usahawan adalah satu perkara biasa dalam perniagaan Internet, dan program networking adalah tempat yang paling sesuai untuk anda bersemuka dengan rakan-rakan usahawan anda untuk berkongsi kisah projek dan meraih sokongan sesama anda.

6. Kenalan baru

Di samping itu, anda juga berpeluang bertemu dengan kenalan baru di program networking ini. Ini bermaksud, anda mengembangkan rangkaian rakan-rakan usahawan anda untuk sama-sama maju dalam perniagaan masing-masing. Mungkin anda tidak pernah kenal mereka, namun apabila anda berkumpul di satu program kerana mempunyai perniagaan dan minat yang sama, sudah tentu ini menguntungkan anda dan kenalan baru anda kerana siapa tahu, mungkin anda boleh bekerjasama dalam satu projek di masa akan datang.

7. Peluang JV dan outsource

Semakin anda bergaul dengan mereka yang hadir di program networking tersebut, anda mulai mesra dengan mereka dan mungkin anda dapat melihat potensi untuk kerjasama melalui joint venture (JV) untuk satu projek di kemudian hari. Sebagai contoh, anda dan seorang rakan mempunyai minat yang sama iaitu perniagaan penulisan ebook dalam niche kesihatan. Anda boleh bersetuju untuk JV dalam projek penulisan ebook ataupun masing-masing melakukan promosi untuk produk ebook kepada senarai subscriber masing-masing.

Selain itu, anda juga berpotensi mendapatkan kenalan baru untuk tujuan ‘outsourcing’. Sebagai contoh, anda membuat perniagaan penulisan ebook dan produk disampaikan kepada pembeli anda secara online. Di program networking itu tadi, anda bertemu dengan seorang usahawan yang boleh bantu untuk ‘burn’ ebook anda ke atas cd dan membuat pembungkusan untuk pembeli ebook anda yang inginkan produk fizikal dan bukannya penghantaran melalui online. Ini sudah tentu usahasama yang menguntungkan anda dan rakan baru anda.

8. Platform promosi yang baik

Akhir sekali, kelebihan menyertai program networking sudah tentu adalah sebagai platform promosi yang baik. Anda berpeluang untuk mempromosi produk anda kepada rakan-rakan yang turut serta dalam program networking tersebut, sepertimana mereka juga mempromosikan produk mereka kepada anda. Setelah tamat program networking itu, anda bukan sahaja mendapat rakan baru, maklumat baru dan peluang baru, anda juga dapat membuat promosi produk dan perkhidmatan anda.

Itulah dia, beberapa kelebihan networking untuk usahawan Internet seperti anda. Semoga sukses selalu!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply