Kepentingan Menggunakan Paypal

December 19, 2012 0 Comments Domain dan Web 378 Views

Paypal adalah satu kaedah pembayaran dan penerimaan wang secara online. Ia boleh digunakan untuk transaksi online, seperti pembelian melalui laman web yang menerima kaedah pembayaran Paypal, dan juga offline, seperti sesuatu urusniaga offline yang menghendaki pembayaran dilakukan melalui Paypal.

Sekiranya anda adalah seorang usahawan internet yang menjual produk atau perkhidmatan, atau anda adalah seorang penggunakan yang ingin mendapatkan produk atau perkhidmatan tersebut, anda patut mempertimbangkan penggunaan Paypal untuk urusan pembayaran atau penerimaan wang untuk urusniaga tersebut.

Berikut disenaraikan beberapa kelebihan utama dan Kepentingan Menggunakan Paypal.

1. Nama yang dipercayai

Paypal adalah satu nama yang dipercayai dalam dunia internet. Paypal bukanlah penjual, dan bukan juga kedai online, jadi pelanggan lebih mudah untuk memberikan maklumat peribadi serta kredit mereka kepada Paypal berbanding mana-mana penjual atau kedai online. Oleh kerana banyak urusan pembayaran dan penerimaan wang dalam sistem portal niaga dijalankan dengan menggunakan Paypal, ini menjadikan ia satu nama yang dipercayai.

2. Kaedah pembayaran yang mudah

Pelanggan boleh memilih untuk menyimpan kredit di dalam akaun Paypal untuk digunakan untuk pembayaran, atau menghubungkan akaun Paypal mereka dengan kad kredit atau kad debit. Kaedah pembayaran yang mudah ini disukai oleh pelanggan kerana mereka boleh memilih untuk membayar menggunakan kredit di dalam akaun Paypal, kad kredit atau kad debit mereka.

3. Keselamatan maklumat kad kredit

Seterusnya, maklumat kad kredit atau kad debit adalah selamat dalam rekod Paypal. Ini kerana Paypal menggunakan ciri-ciri keselamatan yang terkini dan mengikut standard industri. Di pihak pelanggan, mereka cuma perlu memasukkan sekali sahaja maklumat kad kredit atau kad debit mereka, mengesahkan kad tersebut, dan ia langsung dihubungkan dengan akaun Paypal tadi. Untuk urusniaga berikutnya, mereka tidak perlu memasukkan maklumat kad mereka sekali lagi. Sebagai tambahan, polisi privasi Paypal juga menyatakan bahawa maklumat kredit pelanggan tidak dikongsikan kepada penjual atau kedai online, dan ini menjadikan akaun Paypal lebih selamat berbanding kaedah pembayaran manual atau terus daripada akaun bank.

4. Pembayaran yang cepat dan fleksibel

Pembayaran melalui Paypal juga cepat dilaksanakan, asalkan pelanggan memasukkan maklumat kad kredit atau kad debit mereka dengan tepat dan disahkan di pihak bank terbabit. Selain itu, ia juga fleksibel kerana pelanggan boleh memasukkan maklumat beberapa kad kredit atau kad debit, dan Paypal akan memproses pembayaran daripada kad berikutnya sekiranya kad pertama tidak berjaya dicaj. Ini mengurangkan potensi pembayaran tidak berjaya, dan situasi ini tidak dimaklumkan kepada penjual atau kedai online terbabit.

5. Percuma untuk digunakan

Mungkin ini adalah ciri-ciri paling menarik bagi seseorang pelanggan dan pengguna Paypal, kerana Paypal adalah percuma untuk digunakan. Tiada yuran permulaan untuk menggunakan Paypal, dan juga tiada yuran tahunan untuk mengekalkan akaun Paypal tersebut aktif. Mungkin terdapat sedikit caj yang dikenakan oleh Paypal untuk setiap transaksi pembayaran, namun caj tersebut adalah minima dan berbaloi berbanding kemudahan dan kelebihan Paypal yang dinyatakan di sini.

6. Penyata paypal memudahkan pelanggan dan perniagaan anda

Oleh kerana akaun Paypal berasaskan internet, penyata urusniaga boleh diperolehi dengan mudah dengan mendaftar masuk ke akaun online di Paypal untuk tujuan semakan pembayaran dan penerimaan wang. Kelebihan ini menguntungkan kedua-dua pelanggan dan perniagaan online, kerana mereka tidak perlu merekod urusniaga aliran wang secara manual kerana semuanya direkodkan secara otomatik oleh sistem Paypal.

7. Pembayaran secara ansuran tanpa faedah

Baru-baru ini juga Paypal memperkenalkan satu ciri baru – iaitu pembayaran secara ansuran menggunakan akaun Paypal tanpa sebarang faedah untuk tempoh maksima 6 bulan. Jadi, sekiranya sesuatu pembelian itu melibatkan jumlah pembayaran yang besar, pelanggan boleh memilih untuk membuat pembayaran mengikut kemampuannya secara ansuran kerana tiada faedah yang dikenakan oleh Paypal untuk pilihan ini.

8. Kaedah pembayaran tanpa batasan

Akhir sekali, Paypal mempunyai kelebihan penerimaan dan pembayaran wang tanpa batasan geografi. Ini akan menguntungkan seseorang usahawan internet khususnya sekiranya perniagaan beliau mempunyai pasaran antarabangsa. Kelebihan ini penting berbanding penerimaan pembayaran manual atau secara bank in, kerana seseorang di luar negara besar kemungkinan mempunyai kekangan untuk melakukan pindahan wang ke akaun dalam negara. Dengan adanya Paypal, masalah ini dapat diatasi.

Seperti yang anda dapat lihat sendiri, banyak kelebihan menggunakan Paypal sebenarnya memihak kepada kedua-dua pelanggan dan usahawan internet. Mungkin anda boleh mencuba selepas ini!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply