Kepentingan Kad Bisnes Untuk Usahawan Internet

January 15, 2013 0 Comments Bisnes 317 Views

Sekiranya anda seorang usahawan internet, jangan disangka anda cuma berinteraksi dengan jaringan kenalan dan pelanggan anda melalui internet sahaja. Ada ketikanya, anda perlu berinteraksi dengan prospek anda secara offline, dan cara terbaik yang menunjukkan anda bersedia untuk interaksi tersebut adalah dengan memilik kad bisnes anda sendiri.

Mari kita lihat beberapa kepentingan memiliki kad bisnes untuk seseorang usahawan internet.

1. Impresi pertama prospek terhadap anda – oleh kerana itu mungkin kali pertama anda menemui prospek anda, tiada perkara lain yang boleh memberikan impresi positif anda di kaca mata mereka selain daripada penampilan anda ketika itu, dan juga kad bisnes anda.

2. Sukar dilupakan dan mempunyai impak yang lebih panjang – kad bisnes yang baik boleh dipegang dan disimpan secara fizikal, jadi ia lebih sukar dilupakan berbanding ingatan mereka ketika melawat laman web anda. Di samping itu, kad bisnes memberikan impak yang lebih panjangan berbanding ingatan seseorang.

3. Rekaan yang unik lebih menimbulkan minat prospek – sekiranya anda mempunyai kad bisnes dengan rekaan yang unik, prospek anda akan lebih berminat untuk bertanya lanjut mengenai perniagaan anda. Mungkin anda menggunakan material kad yang lain daripada yang lain, ataupun warna dan logo yang anda gunakan dapat menarik perhatian prospek anda.

4. Kaedah mudah dan pantas untuk memulakan perbualan – berbanding kaedah lain, perbualan mengenai kad bisnes adalah kaedah paling mudah dan pantas untuk memulakan sesuatu perbualan dengan prospek anda.

5. Potensi menarik pelawat be laman web anda – sekiranya prospek anda berminat dengan produk atau perkhidmatan anda, sudah tentu kad bisnes anda yang disimpannya di dalam kocek bajunya mempunyai potensi tinggi untuk membawanya melawat laman web anda selepas pertemuan anda itu.

 

Kandungan kad bisnes

Jadi apakah maklumat yang anda perlu muatkan di dalam kad bisnes anda? Berikut adalah maklumat-maklumat yang perlu anda sediakan pada kad bisnes anda.

1. Perkhidmatan yang ditawarkan – ini adalah elemen paling penting untuk ditonjolkan di dalam kad bisnes anda. Sebagai contoh, anda boleh berikan font yang besar dengan warna yang menarik untuk menonjolkan ‘Rekaan Logo’ atau ‘Penulis Freelance’ iaitu produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan melalui perniagaan internet anda. Sudah tentu anda tidak mahu prospek anda tertanya-tanya mengenai perniagaan anda akibat daripada kad bisnes anda yang samar-samar memperkenalkan perniagaan anda, bukan?

2. Maklumat untuk dihubungi – perkara kedua yang amat penting untuk dimuatkan ke dalam kad bisnes anda adalah maklumat diri anda untuk dihubungi oleh prospek. Paling minimum adalah nama anda, nombor telefon, alamat emel dan URL laman web yang boleh dicapai oleh prospek pelanggan anda. Sekiranya anda tidak suka mencampurkan urusan perniagaan di talian telefon peribadi, anda boleh menggunakan talian khusus untuk perniagaan anda sahaja untuk ditulis di atas kad bisnes anda.

3. Grafik yang bersesuaian – Anda juga disarankan untuk memuatkan grafik yang bersesuaian dengan perniagaan internet anda. Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan mereka logo, maka anda bolehlah menggunakan grafik yang menarik untuk kad bisnes anda. Dan sekiranya anda menyediakan perkhidmatan penulisan, maka anda bolehlah menggunakan grafik pen atau pensel untuk menggambarkan jenis perniagaan yang anda jalankan. Namun anda perlu berhati-hati untuk tidak menggunakan terlalu banyak grafik kerana ia mungkin menenggelamkan maklumat perniagaan dan maklumat untuk dihubungi anda.

4. Alamat surat menyurat rasmi – Anda juga perlu meletakkan alamat surat menyurat rasmi untuk digunakan oleh prospek pelanggan anda sekiranya perlu. Ini mengukuhkan kedudukan anda untuk menunjukkan anda mempunyai alamat perniagaan anda sendiri dan bukan menumpang di laman maya semata-mata.

5. ‘Call-to-Action’ – Akhir sekali, anda bolehlah meletakkan maklumat ‘Call-to-Action’ di dalam kad bisnes anda untuk menimbulkan kesegeraan di pihak prospek untuk melanggan anda. Sebagai contoh: “Lawati laman web kami untuk tawaran terkini” ataupun “Dapatkan sebutharga secara percuma”. Ini akan bertindak sebagai tagline perniagaan anda dan lebih menarik minat prospek anda untuk lantas menghubungi anda bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.

Itulah dia, perkongsian mengenai kepentingan kad bisnes untuk perniagaan internet anda, dan maklumat-maklumat penting yang mesti dimuatkan di dalam kad bisnes anda. Selamat mencuba!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply