3 Tip Mendapatkan Idea Perniagaan

December 4, 2012 0 Comments Bisnes 420 Views

Terdapat banyak jenis perniagaan internet di luar sana. Ada yang menjual barang sama ada fizikal ataupun digital. Ada juga yang menyediakan perkhidmatan seperti khidmat kaunseling, penyuntingan buku, membuat laman web dan sebagainya.

Sekiranya anda berhasrat untuk memulakan perniagaan internet, sudah tentu anda terfikir jenis perniagaan yang manakah yang perlu anda ceburi. Mungkin juga anda sudah pun memulakan perniagaan internet dan kini mahu menambah peluang menjana pendapatan daripada perniagaan anda.

Artikel ini menerangkan 3 tip untuk anda mendapatkan idea untuk perniagaan internet anda.

1. Selidik keinginan/masalah pelanggan anda

Langkah pertama untuk anda lakukan adalah membuat kajian ringkas untuk mengetahui apakah permintaan pelanggan. Sesuatu permintaan akan timbul dalam dua bentuk, yang pertama adalah keinginan. Pelanggan amat menginginkan sesuatu produk atau perkhidmatan, dan anda perlu selidik apakah produk atau perkhidmatan tersebut. Ia mungkin gajet, tablet atau telefon pintar pada harga berpatutan, ataupun perkhidmatan menyunting ebook, laporan atau manuskrip lain.

Bentuk permintaan yang kedua adalah masalah pelanggan. Pelanggan mempunyai masalah mengenai sesuatu perkara, dan anda perlu selidik apakah perkara tersebut. Ia mungkin masalah kegemukan, jerawat, jangkitan telinga, ataupun pelanggan perlukan wang tambahan.

Tidak kira permintaan itu dalam bentuk keinginan ataupun masalah, anda mempunyai potensi untuk menyediakan barang jualan ataupun perkhidmatan bergantung kepada permintaan pelanggan anda. Ini mungkin idea bernas untuk perniagaan internet anda!

2. Kaji kelebihan dan kekurangan anda

Setelah menyelidik apakah permintaan pelanggan, anda perlu mengkaji kelebihan dan kekurangan diri anda sendiri. Sekiranya anda mempunyai kelebihan yang nyata untuk memenuhi permintaan pelanggan anda, maka anda semakin hampir untuk memulakan satu perniagaan internet yang mempunyai potensi hebat untuk menjana pendapatan. Sebagai contoh, anda mendapati terdapat satu permintaan yang tinggi di kalangan pelanggan yang mempunyai masalah kegemukan, anda boleh mempromosi produk kesihatan untuk menurunkan berat badan, ataupun ebook mengenai kaedah-kaedah menurunkan berat badan kepada mereka.

Namun, sekiranya anda tidak mempunyai kelebihan yang diperlukan, sebaliknya anda melihat potensi permintaan pelanggan amat tinggi, anda boleh pertimbangkan untuk menyalurkan penyediaan perkhidmatan atau barang jualan kepada pihak ketiga. Strategi ini dinamakan ‘outsource’. Sebagai contoh, anda mendapati ada permintaan yang tinggi untuk perkhidmatan percetakan banner, banting dan kad perniagaan, namun anda tidak mempunyai peralatan yang lengkap untuk menjalankan perniagaan percetakan. Anda boleh membuat promosi percetakan dan mengambil tempahan daripada pelanggan anda. Untuk kerja-kerja percetakan, anda outsource kepada kedai-kedai percetakan untuk melakukannya. Setelah siap, anda serahkan kepada pelanggan pada harga yang lebih tinggi daripada yang dikenakan kepada anda oleh kedai percetakan itu tadi. Sebarang perbezaan di antara harga anda kepada pelanggan anda dengan harga kedai kepada anda merupakan keuntungan anda.

3. Kenali persaingan yang sedia ada

Sebelum anda mula mengorak langkah untuk menjalankan perniagaan internet anda, langkah terakhir yang anda perlu lakukan adalah untuk mengenali dan menilai persaingan sedia ada. Sebagai contoh, sekiranya anda memulakan perniagaan internet menjual produk kesihatan, andalah satu-satunya wakil di kawasan anda yang menjalan perniagaan sedemikian. Dalam situasi ini, anda beruntung kerana anda dapat menjual produk anda kepada prospek pelanggan anda tanpa persaingan.

Namun, dalam sesetengah keadaan, akan terdapat persaingan perniagaan anda. Sebagai contoh, mungkin anda mendapati permintaan percetakan adalah tinggi di kawasan anda, dan anda berhasrat untuk memulakan perniagaan internet khusus untuk menerima tempahan percetakan. Setelah anda selidiki, terdapat beberapa individu atau syarikat lain yang telahpun menyediakan perkhidmatan percetakan di tempat anda.

Adakah ini bermaksud idea perniagaan anda harus berkubur? Tidak semestinya. Anda cuma perlu mengenali mereka ini dan membuat kajian ringkas kenapa dengan adanya perniagaan-perniagaan ini, permintaan untuk perkhidmatan percetakan masih tinggi? Sebagai contoh, adakah kerana kaedah promosi mereka tidak berkesan, ataupun pelanggan sukar untuk membuat tempahan percetakan melalui saluran sedia ada perniagaan-perniagaan ini.

Setelah anda mengenalpasti apakah ciri-ciri persaingan sedia anda, anda bolehlah cuba untuk mengatasi situasi yang dihadapi oleh mereka, dan memperkenalkan penambah baikan dalam perniagaan anda sendiri. Anda akan berkemungkinan besar mencapai kejayaan yang lebih baik daripada individu atau syarikat sedia ada tadi.

Itulah dia, tiga langkah mudah untuk menjana idea baru untuk perniagaan internet anda. Selamat mencuba!

About author

Related articles

0 Comments

No Comments Yet!

You can be first to comment this post!

Leave a Reply